Thursday 11 July 2013

Jom melawat Kuala Selangor

Selamat pagi dan salam Ramadhan kawan-kawan. Hari ini Cik Manis semangat sangat sebab Cik Manis akan pulang ke kampung halaman tercinta. Jadi, Cik Manis nak kongsikan sedikit cerita tentang tempat asal Cik Manis. Kawan-kawan pernah berkunjung ke Kuala Selangor tidak? Kalau kawan-kawan nak tahu, Kuala Selangor merupakan salah sebuah daerah dalam negeri Selangor ni. Jom Cik Manis ceritakan serba sedikit tentang kampung halaman Cik Manis ni :)
Kalau sebut Kuala Selangor, perkara pertama tergambar dalam minda Cik Manis ialah Bukit Malawati. Bukit Malawati ini boleh dikatakan mercu tanda Kuala Selangor.  Mengikut sejarah, Bukit Melawati dahulunya merupakan kubu pertahanan Kesultanan Selangor untuk memantau pergerakan kapal dagang dan kapal perang yang melalui Selat Melaka dan Kuala Selangor. Namun, Pada tahun 1784, Bukit Malawati telah ditakluki oleh Belanda ketika Belanda menjajah Kuala Selangor. Setahun kemudian iaitu pada 28 Januari 1785, Bukit Malawati telah berjaya dirampas semula oleh Sultan Ibrahim dengan bantuan adindanya, Dato' Penggawa Permatang Mahabijaya. Rampasan tersebut berlaku dalam tempoh hanya satu malam iaitu bermula pada waktu isyak dan berakhir pada waktu subuh. 
Jika kawan-kawan berkunjung ke Bukit Melawati, kawan-kawan pasti terpukau dengan panorama alam semula jadi yang indah. Kawan-kawan juga berpeluang menghayati tinggalan-tinggalan sejarah Bukit Melawati pada era pemerintahan Sultan Ibrahim dan penjajahan Belanda. Terdapat banyak tinggalan-tinggalan sejarah yang terdapat di atas Bukit Malawati antaranya seperti Meriam-meriam Purba, Makam Diraja, Telaga Beracun, Makam Anak Dara, Tangga Seratus, Telaga Tujuh, Batu Hampar, dan Busut Malawati. Setiap satu tinggalan sejarah ini mempunyai nilai dan cerita yang tersendiri yang sangat menarik dan misteri. 
Di atas dan sekeliling bukit itu masih ada meriam purba yang pernah digunakan untuk menghadapi serangan tentera penjajah. Menariknya, setiap meriam di situ mempunyai cerita tersendiri. Benteng atau kota yang digunakan dalam peperangan juga masih pada tempatnya. Batu Hampar dan Telaga Beracun pula merupakan tempat hukuman pesalah ketika zaman dahulu. Berada di puncak Bukit Melawati, kawan-kawan pasti akan terpesona dengan pemandangan delta Kuala Selangor, kawasan hutan paya bakau dan Selat Melaka yang memukau. Hutan bakau itu adalah sebahagian daripada kira-kira 198 hektar Taman Semulajadi Kuala Selangor yang menjadi tempat berkumpul lebih 160 spesies burung.


Di puncak Bukit Melawati juga ada rumah api yang masih berfungsi serta beberapa rumah kolonial British yang masih terpelihara. Selain itu, kawan-kawan juga boleh melawat Muzium Sejarah Daerah Kuala Selangor yang memaparkan pelbagai tinggalan sejarah. Ia asalnya kediaman rasmi Pegawai Daerah Kuala Selangor. Muzium itu menghimpunkan segala sejarah berhubung Kuala Selangor sebagai pusat pentadbiran awal Selangor selain menyaksikan bermulanya Institusi Kesultanan Selangor yang diasaskan Raja Lumut (Sultan Salehuddin) pada tahun 1766.

Sambil bersiar-siar mengambil gambar di sudut-sudut menarik terutama pokok yang berusia ratusan tahun itu, kawan-kawan jangan terkejut jika beberapa ekor monyet ´Silver-Leafed´ dan ´Macaques´ berekor panjang mendekati kawan-kawan .Aksi si monyet dan pengunjung yang dikerumuni monyet memang mencuit hati. Ia sekali gus menjadikan percutian ke Bukit Melawati lebih bermakna terutama kanak-kanak. Untuk ke puncak Bukit Melawati, pengunjung boleh menaiki kenderaan sendiri dari hari Isnin hingga Jumaat. Bagaimanapun, Sabtu, Ahad dan cuti umum, pengunjung perlu menaiki trem berdekatan masjid lama Kuala Selangor dengan harga yang sangat berpatutan.


Apa lagi kawan-kawan, jomlah kita berkunjung ke Bukit Malawati Kuala Selangor. Selain dapat bersiar-siar bersama keluarga, kawan-kawan juga dapat menambah ilmu berkenaan sejarah awal negeri Selangor. Terdapat banyak sangat tinggalan sejarah menarik di sana. Mari kawan-kawan. Cik Manis menanti di Kuala Selangor. Kuala Selangor Indah dan Bersejarah :)

kredit : http://www.travelific.my/travelstry_full.php?sid=647
           :http://www.mdks.gov.my/

No comments:

Post a Comment